Risiko Bisnes Kereta Sewa


Pernahkah anda terfikir akan risiko apabila menyewakan kereta kepada pelajar? Antara risiko yang akan saya terangkan di bawah adalah sebagai langkah berjaga-jaga sebelum bisnes yang kita harapkan untung daripadanya tetapi sebaliknya yang berlaku.

Pertama,ada penyewa ini apabila kita minta maklumat peribadi seperti nama,nombor IC dan alamat,mereka enggan. Bagi pun sekadar nama kampung. Dom, Along, Mek Sue.. Kenapa perlu takut untuk memberikan maklumat asas tersebut? Penjenayahkah? Bayangkan kalau pelanggan seperti ini yang menyewa kereta anda. Andai terjadi jenayah,saman dan kemalangan tentu susah untuk kita untuk menjejaki mereka.

Kedua,pelanggan yang sering minta diskaun. Mungkin mereka ini nak save duit atau mereka memang tak ada duit. Kalau ada duit tapi nak jimat tak mengapa..Cuba bayang kalau mereka memang tak berduit banyak. Apa-apa terjadi kepada kereta seperti bumper pecah dan kemalangan,sudah tentu mereka sukar untuk membayar ganti rugi walaupun perjanjian telah dibuat. Nak harapkan PTPTN tentulah tidak cukup. Separuh untuk bayar yuran,separuh untuk beli Samsung S4..

Ketiga,kadang-kadang pelajar ni suka menyewa beramai-ramai. 5 hingga 6 orang untuk sebuah kereta kecil. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi membahayakan keadaan kereta kita. Saya tahu,kalau sehari sewa rm 60,kalau sewa 6 orang cuma perlu bayar rm10 seorang. Ingat,sangat-sangat tidak berbaloi untuk rm 10 berbanding dengan nyawa anda kalau terjadi kemalangan. Kalau kena kemalangan,jangan harap pemilik nak kasihan sebab itu adalah kesalahan anda sendiri.


Akhir sekali,pelajar ini sebahagian daripada mereka adalah orang yang baru beberapa jam dapat lesen. Entah-entah baru semalam dapat lesen. Bawa kereta kelam-kabut dan cuai. Saya sendiri pernah mendapat pelanggan seperti ini. Masuk gear satu,tekan minyak sampai jarum RPM sampai ke tanda merah baru tukar gear 2. Ada juga yang suka pijak clutch semasa tengah bawa kereta. Saja-saja tekan,bukan untuk tukar gear..Lama-lama boleh jahanam kereta kita.

Sekianlah dulu serba-sedikit perkongsian daripada saya,pemilik bisnes kereta sewa secara kecil-kecilan. Bukan tak boleh bagi sewa cuma perlu banyak berwaspada. Jangan malu untuk komplen andai servis kami tidak memuaskan hati.






Strategi Langsai Hutang

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

Hutang yang banyak sering menghantui fikiran kebanyakan pekerja kerajaan. Sama ada hutang kereta, motosikal, rumah malah hutang pinjaman peribadi . Aku sendiri pun sama,berhutang.Kalau dikira-kira,hutang aku akan membuatkan gaji bersih aku hanya tinggal beberapa ratus ringgit sahaja lagi. Pada pendapat aku, rakan-rakan sekerja aku yang lain pun mesti sama kerana gaji kami lebih kurang sahaja.

Namun hutang yang membebankan tidaklah menjadi isu besar kepada aku sejak aku berpindah ke Kota Samarahan, Bandar Ilmu.Aku mula menceburkan diri dalam perniagaan kereta sewa sejak 4 tahun yang lalu. Mula-mula aktiviti sewa kereta ni aku buat sekadar suka-suka. Asalnya ada kawan sekerja yang pinjam kereta aku. Niat aku nak pinjamkan sahaja tetapi kawan aku tu membayar sedikit wang kepada aku kerana meminjamkan kereta kepadanya. Kebetulan pula rumah aku dekat dengan tiga pusat pengajian tinggi awam. UNIMAS, UiTM dan IPG. Menyedari akan peluang untuk mendapatkan pelanggan dikalangan pelajar adalah sangat tinggi aku mengambil keputusan untuk menambah jumlah kereta yang aku ada.

Menambah jumlah kereta bermakna aku menambahkan lagi jumlah hutang yang aku ada sekarang. Jika sebelum ini aku berhutang rm360 untuk sebuah kereta kini setelah menambah 2 buah lagi kereta,  hutang kereta sahaja sudah mencapai rm1250, hampir separuh gaji bulan aku. Namun itulah yang dikatakan perniagaan. Dalam 3 atau 4 tahun,keuntungan yang didapati memang digunakan untuk membayar hutang dan gaji pekerja.

Setiap minggu tentu ada pelajar yang ingin menyewa kereta. Sekali gerak sekurang-kurangnya aku akan mendapat rm18 kerana tempoh minimum yang disyaratkan ialah 3 jam. Bukan aku tak nak buat sewa wajib sehari tetapi menyedari akan pelanggan aku itu adalah pelajar dan kadang-kadang mereka malas nak naik bas yang disediakan kerana terlalu sesak maka aku sewakan walaupun hanya untuk 3 jam. Sungguh tidak patut aku nak berlaku kejam terhadap mereka yang keperluan sewa kereta hanyalah untuk menghantar assignment semata-mata tapi di cas sewa sehari?

Setiap hari tentu ada pelanggan sekurang-kurangnya 3 jam. Kalau 5 buah kereta bergerak sekali,dalam hari tu aku akan dapat sekurang-kurangnya rm90. Sabtu dan Ahad sewa minimum ialah setengah hari sewa atau rm 50 dan rm 55.Jadi hujung minggu aku dapat sekurang-kurangnya rm 500. Jadi jumlah untung paling cikai aku dapat untuk seminggu ialah rm90+rm500. Kalau sebulan pula,rm590 x 4= rm2360..Itu yang paling cikailah kerana kadang-kadang hari biasa ada yang sewa 5 jam,8 jam dan sebagainya.Jadi untung bersih aku setelah tolak hutang kereta ialah paling cikai rm1000. Alhamdulillah, kalau kita yakin dengan rezeki tu datang dari Allah dan sentiasa bersyukur di atas nikmat yang diberikan, Allah tentu akan mencukupi kita tanpa kita sedar rezeki datang secara tiba-tiba tanpa diduga.

Apa yang penting dalam perniagaan ialah sanggup menerima risiko dan bersabar untuk mendapatkan keuntungan. Mana mungkin kekayaan boleh datang sambil goyang kaki atau menipu dalam penjualan produk atau klik Facebook.